4 Taktik ‘Scammer’ Skim Cepat Kaya Yang Anda Kena Hati-Hati

“Meh letak duit di sini, ROI 50-60% sebulan”

“Bagi RM10,000 kat saya, nanti boleh dah buat kira-kira pergi Haji bulan depan”

“Tak rugi punyalah melabur dengan kami, pulangan bulanan lagi banyak daripada pulangan ASB!”

Pernah dengar dialog-dialog sebegini? Jika pernah, maka anda berada dalam situasi di mana anda bakal kehilangan wang anda. Situasi ini biasanya melibatkan keluarga, saudara mara, pendek kata orang yang anda kenal dan percaya.

Dengan menggunakan quotes dan tomahan membakar jiwa anda untuk gandakan wang dengan cepat, mereka ada taktik dan strategi mereka. Ada yang datang dengan ikhlas (tidak tahu mereka juga ditipu) dan ada juga yang datang memang niat asal dah nak menipu.

Fikir logik, jika tawaran yang ditawarkan mereka tu terlalu bagus, kenapa mereka tak jadi saja billionaire mengatasi Bill Gates atau Jeff Bezos? Dan kenapa perlu ajak orang untuk sertai bersama?

Durian jatuh ke riba? Perit woi kalau durian jatuh atas riba, silap-silap boleh rabak riba tu. Betul, ramai nak kaya, ramai nak jadi macam Jordan Belfort dalam Wolf of Wall Street yang tinggal dalam bangle serba mewah, berhibur apabila nak.

Dan tidak sedikit juga yang fikir nak buat baik dengan wang yang bakal digandakan seperti bersedekah ke jalan yang diperjuangkan.

Betul, ada jalannya untuk gandakan wang namun ada perit dan pedih dia dan biarlah pahit itu bukan disebabkan skim cepat lingkup. Anda boleh mula menuntu ilmu belajar ilmu kewangan, belajar ilmu pelaburan dengan jalan yang betul.

‘Scammer’ skim cepat lingkup datang dengan berbagai instrumen. Ada yang menunggang nama saham, ada yang menggunakan nama Forex, dan sekarang mereka sedang mandi duit menunggang Cryptocurrency seperti Bitcoin. Bayangkan, semua instrumen yang disebut memang boleh mendatangkan hasil tetapi kena ingat, bukanlah dengan bagi duit kepada mereka dan goyang kaki.

Baca: APA ITU SKIM PONZI

Apa yang perlu dibuat adalah belajar mengenai sesuatu instrumen dan cuba buat duit sendiri. Jangan sesekali bagi duit anda kepada orang lain malah dengan memberikan duit kepada mereka yang tiada lesen untuk menguruskan duit oleh Suruhanjaya Sekuriti adalah melanggar undang-undang.

1 tip penting untuk anda, jika anda dimomokkan dengan pulangan yang melebihi ASB mahupun Tabung Haji, percayalah itu hanya tipu belaka. Jangan hanguskan duit anda yang anda bekerja penat lelah selama ini.

Pencuri hari ini ramai yang tidak menggunakan pisau dan berpakaian lusuh. Sebaliknya mereka pakai sut lengkap mewah dengan kaca mata hitam bergaya dan berkereta mewah.

Apakah taktik-taktik atau skrip mulut manis yang digunakan oleh para ‘scammer’ ini? Jom baca di bawah.

  • Menjanjikan pulangan pelaburan lebih daripada 10-20% setahun

Seperti dinyatakan di atas, jika ada yang menawarkan pelaburan yang memberi pulangan melebihi ASB mahupun Tabung Haji dengan hanya goyang kaki, maka itu adalah pelaburan skim cepat lingkup.

Ya lah, siapa tidak seronok apabila dijanjikan bulan bintang, pulangan yang berkali ganda lipatannya. Kena pula mereka pandu kereta mewah seperti BMW, Mercedes atau Lamborghini. Mana hati tak seronok apabila orang tawarkan gandaan wang yang banyak macam tu kan?

Ingat, apa yang nampak macam terlalu bagus untuk dipercayai maka berhati-hati. Oh, kereta mewah mereka mungkin sambung bayar atau hanya sewa saja sehari. Takat RM3,000 sewa sehari apalah sangat nak dibandingkan dengan RM10,000 yang anda leburkan. Jangan termakan tipu daya mereka ini.

  • Menjanjikan “Tiada Kerugian”

Ini memang kita boleh bagi A+ kerana keyakinan para ‘scammer’. Dan anda sebagai orang yang membaca artikel ini, jadilah orang yang lebih bijak daripada mereka. Dalam dunia ini, tiada apa yang tiada risiko terutama melibatkan wang.

Anda pergi kerja, ada risiko kemalangan. Anda pedagang Forex, saham dan komoditi? Ada risiko kerugian. Pelaburan hartanah? Tiada penyewa, tak sempat kejar bayaran bank bulanan. Pun ada risiko.

Jangan jadi pak turut, jangan disangkutkan besi pada hidung apabila mereka kata, “pasti takkan rugi punya, ini namanya pelaburan mahadewa”. Percayalah, jual tahi lembu sebagai baja lebih baik daripada terkena skim cepat lingkup ni.

Warren Buffet, George Soros, Peter Lynch dan ramai lagi daripada pelabur kaya dunia pernah mengalami kerugian. Adakah ‘scammer’ lebih hebat daripada mereka? Jika ya, tiadak kerugian kenapa tidak tersenarai dalam senarai orang terkaya di dunia? Nampak sangat kan?

  • Menunggang instrumen kewangan

Skim cepat lingkup akan menggunakan instrumen kewangan sebagai bahan tunggangan mereka dalam meraih keuntungan mudah.

Sebutlah mana-mana instrumen, semua pernah dijadikan sebagai pemanis skim. Daripada saham, Forex, komoditi sehinggalah emas, hartanah dan sebagainya. Dijanjikan keuntungan berlipat kali ganda dan tiada kerugian, semua nampak cantik dan hebat belaka.

Ada pakar dalam tiap instrumen dan rujuklah pakar, paling mudah, hubungi Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara Malaysia untuk pertanyaan dan dapatkan kepastian. Jangan biarkan diri anda diselubungi misteri yang akan mencuri wang anda.

  • Goyang kaki

Pada awal mungkin dimomokkan dengan goyang kaki dapat duit. Kemudian disuruh pula ajak saudara mara atau kawan atas dasar nak bantu orang lain turut sama kaya. Kalau andabaca sehingga ke sini, anda dapat rasa pedihnya kalau anda pernah terlibat mahupun orang yang anda kenal.

Ditipu bulat-bulat dan diarah pula untuk menipu orang lain tanpa sedar. Ingatlah, goyang kaki dapat duit ni hanyalah bisnes menjahit. Tu pun perlukan ilmu menjahit dan skil yang bagus untuk dapatkan klien.

Tiada apa yang mudah dan apabila terlalu mudah, berhati-hati. Biasanya mereka yang datang pada anda juga akan claim diri sendiri pakar walaupun reality sebenarnya bohong belaka. Dengan menunggang agama, menunggang bangsa merekalah antara palesit yang merosakkan ekonomi manusia.

Kesimpulan

Maka berhati-hatilah dalam menguruskan kewangan dan elakkan daripada mereka ini. Nasihat jika boleh. Jika tidak, anda elakkan diri anda daripada berurusan dengan mereka. Peluang yang baik hanyalah peluang yang anda ada ilmu ke atasnya.

Pelaburan terbaik seseorang adalah pelaburan ilmu dan dengan ilmu yang betul daripada gutu yang betul boleh lindungi anda daripada skim yang tumbuh bagai cendawan ini.

Kami tahu anda dalam kesempitan tetapi dengan menyertai skim cepat lingkup boleh buat anda lebih tersepit malah akan timbul masalah baru. Jagalah wang anda, gandakan di tempat yang betul dengan melabur pada instrumen yang betul. Anda perlukan ilmu, dan ilmu akan kekal bersama anda selagi anda menggunakannya dengan baik.

Baca : 4 GOLDEN TIPS BELAJAR SAHAM

Dalam masa kesempitan wang, jangan menyerah kalah dan jangan juga libatkan diri dalam skim atau apa sahaja yang pendapatannya tidak bersih. Ingat, carilah guru, tuntutlah imu yang betul. Ramai dalam kalangan kita mula kecil dan akhirnya boleh berjaya dengan usaha sendiri.

Disumbangkan oleh Tuan Fauzan Ghazi.

[sociallocker id=”1520″][/sociallocker]

Share this post

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram