5 Tabiat Pelabur Berjaya Ini Boleh Bantu Anda Berjaya Dalam Pelaburan!

Untuk menjadi seorang pelabur, perkara paling penting perlu anda tetapkan dalam fikiran anda adalah mahu jadi seorang pelabur berjaya. Betul, dalam tiap apa yang kita lakukan, kita pasti mahu ia menjadi dengan jayanya. Namun ramai dalam kalangan pelabur, mereka tidak melihat diri mereka sebagai seorang pelabur berjaya.

Untuk menjadi seorang pelabur berjaya, penting untuk anda tetapkan dalam fikiran anda bahawa tiap pelabur yang meraih keuntungan dan kekayaan daripada pelaburan punya tabiat sendiri dan juga cara fikir yang berbeza daripada pelabur-pelabur biasa.

Tahukah anda statistik pelabur yang berjaya adalah 10% sahaja manakala baki 90% lagi adalah mereka yang tidak serius melabur dan tidak mampu menjadikan pelaburan sebagai salah satu alat untuk mencapai kebebasan kewangan.

Kami sediakan 5 tabiat pelabur berjaya, menjadikannya tips kepada anda untuk ke arah pelabur yang kacak, bergaya dan berjaya juga.

Tabiat Pelabur Berjaya #1

Pastikan anda mempunyai prinsip yang sangat kuat dalam tiap pelaburan dan 3 perkara ini boleh membantu anda untuk berfikir seperti seorang pelabur berjaya :

1. Susun strategi sebelum menggunakan teknik

– Sangat penting untuk seorang pelabur menyusun strategi sebelum mula melabur dan bagaimana cara untuk susun strategi? Melabur dalam ilmu, penuhkan ilmu di dada dahulu supaya anda tidak tergolong dalam kalangan mereka yang berjudi.

– Seorang pelabur wajib menentukan asas sesuatu strategi berdasarkan kepada risiko yang bakal diambil

– Jumlah modal yang ditentukan mestilah mengikut strategi yang dipilih berdasarkan instrumen dan jika semua diuruskan dengan baik, mudah untuk seorang pelabur melakukan perubahan ke atas pelaburan tanpa keputusan yang kelam kabut.

2. Kepelbagaian instrumen / portfolio pelaburan

Warren Buffet pernah memberi nasihat kepada pelabur supaya “tidak meletakkan semua telur dalam 1 bakul” kerana khuatir jika bakul tersebut jatuh, semua telur akan pecah.

Sama seperti melabur, elakkan daripada mendagangkan semua wang yang ada pada sama ada 1 instrumen, atau 1 kaunter saham (jika melabur pada saham) sahaja.

Ada daripada pelabur memilih untuk melabur dalam instrumen yang berbeza-beza, contohnya melabur hartanah, dalam masa sama melabur saham. Serta da juga mereka yang melabur saham, memilih untuk melabur pada sektor / kaunter yang berbeza.

Dengan kepelbagaian portfolio pelaburan, jumlah keuntungan akan melebihi kerugian namun berdasarkan analisa dan strategi. Jangan melabur secara membabi buta.

Warren Buffett
Warren Buffett

3. Melabur dengan konsisten

Perkara kedua dan ketiga melengkapkan satu sama lain. Apabila melabur, sentiasa fikir akan melabur dan laburlah secara konsisten. Ambil risiko dengan berhemah dan jangan melabur separuh jalan tetapi ikutlah rancangan pelaburan asal.

Tabiat Pelabur Berjaya #2

Tahu apa yang anda mahu daripada pelaburan. Sentiasa letakkan diri dalam posisi yang tahu tujuan melabur. Sebelum melabur, pastikan anda belajar susur galur pelaburan dan tiap instrumen yang anda pilih.

Kemudian daripada situ, tentukan berapa jumlah wang yang anda ada untuk dilaburkan. Berdasarkan modal anda, anda tahu berapakah keuntungan yang bakal diperoleh. Jangan pula anggap akan terus untung 1000% dalam masa singkat. Itu namanya skim cepat kaya namun dengan pulangan yang hanya tinggal janji sahaja.

Sebelum melabur, anda boleh lakarkan perjalanan pelaburan anda terlebih dahulu. Semak semula berapa lama anda akan ambil masa, dan wajib untuk anda buat analisa dan fahami pelaburan anda. Jika masih baru, sesetengah instrumen ada game yang dibuat oleh website-website dan dengan menggunakan wang dummy anda boleh cuba untuk melabur tanpa kerugian wang sebenar.

Tabiat Pelabur Berjaya #3

Seorang pelabur wajib tahu asas kepada tiap pelaburan. Tiap instrumen mempunyai pulangan keuntungan yang berbeza-beza.

Jika anda memilih pasaran Forex atau Futures sebagai instrumen anda maka anda akan lihat perubahan harga yang sangat aktif setiap hari manakala jika anda melabur dalam pasaran saham Malaysia, tidak semua harga kaunter bergerak aktif setiap hari.

Jadi, fahamkan pasaran, fahamkan instrumen sebelum anda memulakan perjalanan anda sebagai seorang pelabur.

graf pelaburan

Tabiat Pelabur Berjaya #4

Seorang pelabur tidak membuat atau mendengar kepada spekulasi. Apa yang dibuat oleh seorang pelabur sebenar adalah menganalisa kemudian melabur.

Bukan kerana dengar kaunter saham mana akan naik, maka diborongnya sehingga lupa dunia. Apabila rugi, mulalah salahkan sumber informasi.

Tiada siapa yang layak untuk memberitahu diri anda apa yang patut dilaburkan, kaunter apa patut dipilih, matawang mana patut dijual atau dibeli melainkan anda sahaja.

Mendengar atau membuat spekulasi menjadikan anda sedang berjudi, bukan melabur.

Tabiat Pelabur Berjaya #5

Jangan cepat mengalah. Jika pada permulaan anda mengalami kerugian, jangan cepat mengalah daripada melabur. Dalam pelaburan, rugi itu biasa tetapi janganlah melabur secara membabi-buta sehingga rugi semua wang yang ada.

Pastikan anda belajar dan menuntut ilmu daripada guru yang betul (guru yang melabur juga) dan pastikan ilmu yang dipelajari digunakan dengan baik. Dalam pelaburan, emosi akan menjadi musuh ketat anda dan cara untuk mengalahkannya adalah dengan ikut perancangan pelaburan tanpa emosi.

Konklusi

Jika mahu disenaraikan semua tabiat, masih panjang lagi senarai ini dan sesungguhnya tabiat sangat-sangat membantu anda untuk berjaya dalam tiap apa saja yang anda mahu kecapi termasuklah untuk menjadi seorang pelabur.

Tidak tahu apa itu maksud pelaburan? Klik sini untuk baca artikel pengenalan kepada pelaburan