Apa Itu Pelaburan? Skim Cepat Kaya Ke?

Apa itu Pelaburan?

Pelaburan merupakan salah satu cara untuk seseorang membina kekayaan. Pelaburan ini tidaklah hanya untuk orang yang sudah kaya sahaja, namun yang pasti terdapat jumlah modal yang diperlukan untuk mula melabur.

Pelaburan bermaksud menggandakan wang yang ada untuk meraih keuntungan, bergantung kepada pemilihan instrumen, strategi dan emosi.

Sesiapa sahaja boleh melabur dan terdapat beberapa medium pelaburan boleh dipilih mengikut kemampuan sendiri. Ada medium yang hanya memerlukan modal yang kecil, kemudian boleh dibesarkan menggunakan keuntungan yang diperoleh daripada modal tersebut.

Dan ada juga mereka yang terus melabur dengan jumlah modal yang besar. Apabila sudah berada dalam dunia melabur, iaitu sudah mengalami kerugian atau meraih keuntungan daripada sesuatu pelaburan, ia dipanggil portfolio pelaburan.

Pelabur yang bagus merupakan pelabur yang tahu apa yang sedang dilakukan, faham dengan instrumen yang dipilih dan bijak dengan aturan strategi.

Pelaburan ini dalam bahasa mudah adalah menggandakan wang dengan melabur dalam instrumen seperti hartanah, saham, unit amanah, forex dan instrumen lain.

Ramai pelabur berjaya capai apa yang mereka mahukan dalam hidup melalui meraih kekayaan dengan melabur.

Melabur Ibarat Berjudi?

Apa itu pelaburan dan adakah pelaburan itu sama dengan perjudian? Ramai orang menganggap melabur ini seperti berjudi. Jika di medium pelaburan saham, ada yang salah anggap, pilih saja mana-mana kaunter saham, beli unitnya sebanyaknya dan kemudian tunggu rugi atau untung. Kesilapan pertama yang biasanya dibuat oleh pelabur baru adalah tiada ilmu yang cukup dan hanya menjadi ikutan kepada orang lain sahaja.

Melabur bukanlah berjudi. Melabur juga bukanlah skim cepat kaya. Betul, ada saja pelabur yang berjaya menggandakan wang mereka lebih daripada 10% dalam masa seminggu atau dua minggu tetapi ada juga pelabur yang menggandakan wang mereka lebih lama daripada yang dijangkakan, bergantung kepada gaya seseorang pelabur sama ada melabur untuk tempoh masa pendek atau panjang.

Contohnya melabur melalui saham, ada “pelabur” yang suka pergi tengok skrin pergerakan harga saham dan pilih saham sama seperti pilih nombor ekor. Ini bukan pelaburan tetapi perjudian!

pelaburan saham

Pelaburan Ilmu Adalah Pelaburan Terbaik

Sebelum melabur, banyak perkara yang perlu diketahui seperti jenis-jenis pelaburan, jika pilih sesuatu pelaburan apakah strateginya dan sebagainya. Jadi kami di investor.my sangat menegaskan jika anda baru sahaja bermula untuk melabur, maka laburkan duit dan masa anda dalam ilmu supaya tidak tersungkur sebelum bermula.

Ramai dalam kalangan pelabur baru disebabkan salah anggap akan maksud pelaburan, maka mereka menjadi terburu-buru mahukan keuntungan yang cepat seperti pulangan 100% setiap bulan dan sebagainya.

Tidak sedikit juga mereka yang terperangkap dengan skim cepat gaya yang menggunakan nama pelaburan sebagai modus operandi mereka, menjanjikan jika “melabur” dengan mereka, akan diberi keuntungan sebanyak 10% setiap bulan tanpa menyedari mereka tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Keselamatan dan boleh didakwa kerana mengambil wang awam tanpa kebenaran.

buku pelaburan
Sumber : Tax Coach ; Antara buku-buku yang wajib dibaca oleh seorang pelabur

Ayuh kita kenang kembali skim cepat kaya paling terkenal di dunia ini sekitar tahun 80-an. Skim cepat kaya Pak Man Telo. Apakah yang dijanjikan oleh Pak Man Telo?

Pak Man Telo menabur janji kepada pelabur dengan pulangan dividen yang sangat tinggi dalam jangka masa yang pendek. Skim cepat kaya yang dijalankan olehnya bernama Skim Pestama Berhad.

Sebelum menjadi “pengurus wang”, Pak Man merupakan seorang wartawan kepada akhbar Warta Negara kemudian menjadi wartwan Bernama. Sekitar tahun 1970-an, skim tersebut diperkenal dan menjadi sangat terkenal kerana diyakini pulangan wang yang tinggi dalam masa yang sangat singkat.

Pada tahun 1989, pegawai Bank Negara menyerbu rumahnya untuk menyiasat kegiatan haramnya itu dan serbuan kali kedua dibuat dan merampas deposit orang ramai sebanyak RM1.7 juta.

Perbicaraan demi perbicaraan dijalankan, jumlah wang yang diambil oleh Pak Man Telo adalah sebanyak RM99.09 juta tanpa lesen dan jumlah kerugian orang ramai sangat tinggi.

Daripada kisah ini sehingga hari ini, kita dapat lihat skim cepat kaya tumbuh seperti cendawan selepas hujan dan mungkin kita pernah terlibat dengan skim cepat kaya tidak kira menggunakan medium pelaburan seperti hartanah, saham, forex dan lain-lain.

Tengoklah keratan akhbar ini dan nilai sendiri apakah kesan daripada terkena penangan skim cepat kaya. Kerugian wang, tertekan dan akhirnya memilih untuk bunuh diri.

skim cepat kaya
Sumber : Travelog Isma

Konklusi

Jadi apa kaitan antara pengenalan kepada “apa itu pelaburan” dengan kisah Pak Man Telo ini & skim cepat kaya? Kaitannya adalah, kami di investor.my sangat bertegas kepada anda yang membaca supaya laburkan diri anda menuntut ilmu pelaburan terlebih dahulu sebelum memulakannya dan cari medium yang betul dan sahih.

Kami di investor.my juga akan menyediakan artikel-artikel berkaitan dengan pelaburan secara percuma kepada anda supaya anda boleh dapatkan ilmu pengetahuan mengenai pelaburan dengan lebih cepat. Dapatkan buku pelaburan jika anda betul-betul serius dengan pelaburan.

Jeff Bezos memberi nasihat yang sangat bagus kepada pelabur. Baca di sini.

* Artikel ini merupakan pengenalan kepada apa itu pelaburan dan akan mengupas lebih lanjut mengenai pelaburan dan bagaimana anda boleh dapatkan keuntungan yang anda mahukan pada artikel-artikel akan datang.

Baca : BIOGRAFI BUFFET