Binance Ban

Binance Ban Di Malaysia. Apa Nak Buat?

Sehubungan dengan pengumuman yang dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertarikh 30 Julai 2021, pihak SC akan mula menyekat akses oleh rakyat Malaysia ke Centralized Exchange (CEX) yang terbesar di dunia iaitu Binance. Pihak SC memberi masa selama 14 hari bekerja untuk pelabur mengeluarkan dana mereka dari exchange tersebut.

Apakah maksudnya?

Mengikut pengumuman tersebut, pihak SC akan menyekat akses pelabur di Malaysia dengan menghalang akses ke laman sesawang serta aplikasi telefon Binance. Ini bermakna, jika anda masih mempunyai aset di dalam Binance setelah sekatan berlaku, anda mungkin tidak mempunyai cara untuk menjual, membeli mahupun melihat aset anda itu sekiranya anda berada di Malaysia.

Bukan setakat itu sahaja, pihak SC juga mengarahkan pihak Binance untuk menghentikan pengiklanan, promosi dan apa sahaja bentuk pemasaran yang menggalakkan penggunaan CEX tersebut dengan apa sahaja medium perhubungan tidak kira email atau melalui sms. Selain itu, pihak SC juga akan menyekat group Binance yang terdapat di aplikasi Telegram.

Mengapakah sekatan ini berlaku?

Pada Julai 2020, pihak SC telah memasukkan Binance di Investor Alert List mereka. Mengikut mereka, pihak Binance telah beroperasi tanpa kebenaran di Malaysia.

Sumber: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Walaubagaimanapun, amaran oleh pihak SC ini tidak diendahkan oleh pihak Binance dan juga pelabur di Malaysia. Justeru itu, pengumuman yang lebih ketat telah dibuat.

Jadi, apa yang pelabur boleh lakukan?

Walaupun sehingga hari ini, 12 Ogos 2021, laman sesawang Binance dan aplikasi telefonnya masih boleh diakses, adalah lebih baik jika anda mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengeluarkan aset atau dana. Terdapat beberapa pilihan untuk anda buat sebelum sekatan bermula, iaitu:

1. Menjual kesemua aset anda

Cara ini agak mudah dan tidak memeningkan kepala. Anda hanya perlu menjual pegangan anda untuk menjadi stable coin seperti USDT contohnya, dan kemudian menjual kepada pelabur lain menggunakan P2P. Namun, jika pegangan aset anda sedang mengalami penurunan harga, anda akan menjualnya dengan kerugian.

Cara jual beli menggunakan P2P di Binance ada diterangkan di sini.

2. Menghantar aset anda ke exchange yang diiktiraf oleh SC

Antara cara yang mudah dan selamat adalah dengan menghantar aset ke digital asset exchange (DAX) yang diiktiraf pihak SC. Terdapat beberapa jenis exchange yang diiktiraf di Malaysia iaitu Tokenize, Luno, MX Global dan Sinegy. Namun, exchange ini terdapat kelemahan iaitu mempunyai jumlah matawang kripto yang terhad. Oleh itu, jika anda hendak menghantar aset ke Luno contohnya, anda hanya boleh menghantar aset tersebut dengan menggunakan 5 matawang kripto itu sahaja. Ini bermaksud, jika anda mempunyai Matic, anda harus menukarnya ke kripto yang ada di Luno dahulu sebelum menghantarnya.

Luno

Jika anda memilih untuk menghantar aset ke Luno, mengikut kajian kami, cara termurah dan terpantas untuk menghantar aset ke sana adalah dengan menggunakan matawang kripto XRP ataupun Litecoin.

3. Menghantar aset anda ke exchange yang lain

Jika anda seorang pelabur yang kerap menjual beli, mungkin anda mahu memasukkan aset anda ke CEX yang lain. Selain Binance, terdapat banyak lagi exchange yang boleh digunakan dan masih belum disekat oleh SC. Antara exchange tersebut ialah Bittrex, FTX, KuCoin, Huobi dan lain-lain lagi. Akan tetapi, setakat ini hanya KuCoin dan Huobi sahaja yang mempunyai fungsi P2P seperti di Binance, yang memudahkan pelabur untuk keluar masuk ke dalam exchange dengan menggunakan Ringgit Malaysia.

Kucoin

Anda boleh memilih untuk menukar semua aset ke stable coin dahulu untuk meminimumkan caj penghantaran, atau boleh menghantar satu demi satu aset anda ke exchange tersebut. Setiap matawang kripto mempunyai caj penghantaran mereka yang tersendiri.

4. Menyimpan aset di cold atau hard wallet

Terdapat dua jenis dompet digital yang ada di dalam dunia aset digital ini, iaitu cold dan hot wallet. Hot wallet bermaksud dompet digital yang boleh disimpan di dalam peranti pintar. Dompet digital ini juga mempunyai fungsi yang lain seperti staking aset untuk mendapatkan ganjaran. Oleh kerana hot wallet ini bersambung dengan internet, potensi untuk digodam adalah lebih tinggi berbanding cold wallet. Antara hot wallet yang mempunyai fungsi staking ialah Algorand, Yoroi, Celsius, Klever dan lain-lain lagi.

Cold wallet pula berbeza dengan hot wallet kerana ianya tidak bersambung dengan internet. Kiranya, pelabur akan menyimpan aset mereka secara luar talian (offline) dan hanya pemegangnya sahaja yang mempunyai akses ke dompet digital tersebut. Cold wallet ini juga dikenali sebagai hardware wallet dan boleh dibeli di laman sesawang rasmi seperti Ledger dan Trezor. Jika anda adalah seorang HODLer, mungkin pilihan ini sesuai untuk anda.

Ledger Wallet

5. Membiarkan sahaja aset anda di dalam Binance

Kadang-kala terdapat pelabur yang mungkin malas untuk pening kepala memikirkan ke mana harus aset mereka dihantar. Penghantaran ke exchange atau dompet digital juga mungkin sedikit rumit dan leceh buat mereka. Oleh itu, mereka mempunyai niat untuk membiarkan sahaja aset mereka di dalam Binance.

Tidak salah jika anda mempunyai niat sebegini. Namun, anda perlu cakna tentang larangan penggunaan VPN untuk mengakses Binance, penyekatan akses ke laman sesawang dan aplikasi telefon, serta kemungkinan kripto pegangan anda untuk dinyahsenaraikan. Jika semua ini bukan masalah besar untuk anda, maka tiada masalah untuk anda membiarkan aset anda di dalam Binance.

Namun begitu, beberapa hari selepas pengumuman oleh pihak SC dibuat, pihak Binance telah mengeluarkan iklan jawatan kosong untuk beberapa jawatan termasuk Director/ Country Manager. Walaupun tujuan pengambilan pekerja di Malaysia ini masih belum diketahui, namun kami berharap pihak Binance akan berusaha untuk beroperasi secara sah di Malaysia dan seterusnya perkhidmatannya boleh digunapakai kembali di negara ini.

Iklan pencarian Director/ Country Manager oleh Binance

Kesimpulan

Apa sahaja pilihan yang dibuat, pastikan ianya bersesuaian dan selamat untuk anda. Tambahan lagi, pastikan anda memasukkan alamat yang betul sebelum membuat penghantaran kerana jika anda tersilap, kemungkinan besar aset anda akan hilang buat selama-lamanya.

Share this post

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram