Defi bersama myeg

DeFi Bersama MyEG

Pasaran aset digital adalah sangat menarik untuk tidak dihiraukan. Ini kerana selain keunikan teknologi blockchain, pasaran matawang digital ini juga membolehkan pelabur memaksimakan pelaburan mereka dengan pelbagai cara.

Berbeza dengan pasaran ekuiti yang memberi keuntungan pada pelabur dari segi capital gain dan dividen, pasaran matawang digital ini membolehkan pelabur untuk mendapat jenis keuntungan yang sama dan lebih lagi, iaitu dengan staking, mining, DeFi, melalui permainan atas talian, penjualan seni digital dan macam-macam lagi.

Baru-baru ini, syarikat tempatan, MyEG Services Sdn. Bhd. yang terkenal dengan perkhidmatan pembaharuan cukai jalanan telah mengeluarkan pengumuman tentang penglibatan mereka ke dalam pasaran matawang digital dengan memperkenalkan perkhidmatan kewangan mereka yang terbaharu iaitu DeFi.

Maksud DeFi

DeFi ialah singkatan untuk decentralized finance, iaitu sebuah produk kewangan yang berdasarkan blockchain dan smart contract. Justeru itu, ia dapat membenarkan penggunanya untuk meminjam atau memberi pinjam dana dan memperoleh faedah seperti akaun simpanan tanpa perlu melalui perantara kewangan berpusat seperti bank dan broker.

MyEG menawarkan produk DeFi mereka kepada pelabur di Malaysia dengan menggunakan digital asset exchanges (DAX) yang berdaftar sahaja. Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, setakat ini hanya terdapat 4 DAX yang berdaftar di Malaysia iaitu Luno, Sinergy, Tokenize dan MX Global.

MyEG Lock-Earn Wallet

Buat masa ini, MyEG telah membuka pendaftaran untuk produk DeFi mereka yang pertama iaitu MyEG Lock Earn Wallet yang menggunakan konsep simpanan berkunci dalam tempoh tertentu dan pengguna akan menerima ganjaran. Pendaftaran boleh dibuat di MyEG Lock-Earn dengan minimum deposit 0.01 BTC atau 1 ETH.

Cara memperoleh ganjaran dengan MyEG Lock-Earn Wallet

Pengguna hanya perlu memilih tempoh pilihan mereka untuk menyimpan aset digital dan peroleh Borrowing Fees Rate (BFR) atau di dalam bahasa melayu iaitu caj faedah pinjaman yang ditetapkan pada akhir tempoh perjanjian.

Kadar minima BFR ialah 2.5% dan pengguna boleh menambahnya dengan:

  1. Peroleh tambahan 0.25% untuk setiap pengguna yang dirujuk (maksima 8 orang) kepada DAX dalam tempoh 30 hari sebelum memilih untuk Lock-Earn.
  2. Peroleh tambahan 0.5% jika pengguna telah berdagang lebih dari 0.5 BTC dalam masa 30 hari (untuk BTC Lock-Earn)
  3. Peroleh tambahan 0.5% jika pengguna telah berdagang lebih dari 8 ETH dalam masa 30 (untuk ETH Lock-Earn)

Sumber: MyEG Defi

Kesimpulan

Jika hendak dibandingkan dengan platform DeFi yang lain, peratus pulangan DeFi oleh MyEG ini adalah agak kecil. Kebiasaannya, kadar faedah yang diperoleh dari lock-earn DeFi yang lain adalah lebih besar. Selain itu, deposit minima yang diperlukan untuk memperoleh ganjaran iaitu sebanyak 0.01 BTC atau 1 ETH adalah agak tinggi. Walhal, DeFi di platform lain hanya memerlukan deposit serendah 10 USD sahaja. Tambahan lagi, DeFi ini dikawal oleh syarikat MyEG. Justeru itu, ianya lari dari konsep decentralized finance atau kewangan tidak berpusat.

Sungguhpun begitu, langkah MyEG untuk melibatkan diri di dalam pasaran matawang digital ini adalah suatu permulaan yang baik untuk Malaysia. Ini kerana, dengan penglibatan syarikat dan institusi besar seperti mereka, ianya akan dapat meningkatkan keyakinan pelabur tempatan untuk melangkah masuk ke dalam pasaran matawang digital ini

Tidak mustahil juga pada masa yang akan datang, Malaysia juga akan menjadi salah satu negara yang menerima matawang digital secara menyeluruh seperti di negara El Savador.

Share this post

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram