thumbnail

Individu Terkenal dalam Dunia Pelaburan Saham

Dalam dunia pelaburan saham telah munculnya individu dan tokoh yang memperolehi pelbagai kejayaan. Individu ini telah menjalankan kajian dengan melibatkan analisis teknikal dan fundamental. Selain itu, pelabur ini mempunyai andaian dan falsafah tersendiri dengan menggunakan kaedah baru dalam menjalankan pelaburan mereka. Kesannya, mereka berjaya memperoleh keuntungan secara konsisten dan menerapkan analisis baharu yang dijadikan panduan oleh pelabur lain.

Benjamin Graham

Benjamin Graham merupakan seorang pelabur, ahli ekonomi dan profesor yang dilahirkan pada 9 Mei 1894. Beliau berketurunan British-American yang dibesarkan di Bandar New York. Beliau dikenali sebagai “The Father of Value Investing” yang telah mengeluarkan dua buku iaitu “Security Analysis” bersama penulis David Dodd pada tahun 1934 dan “The Intelligent Investor” (1949).

Warren Buffet merupakan anak murid kepada Benjamin Graham dan berpendapat buku ” The Intelligent Investor” sebagai antara buku terbaik mengenai pelaburan yang ditulis oleh Graham.

Antara petua Graham dalam dunia saham:

  • Mengikut analisis kajian sendiri berbanding mengikut “buy call” oleh pelabur lain
  • Menilai syarikat berdasarkan data perakaunan seperti debt to current asset ratio, current ratio, earnings per share, P/E, dividen dan lain-lain
  • Membeli pada harga yang rendah dan jual pada harga yang tinggi.
Gambar: Investopedia

Jesse Livermore

Jesse Livermore dilahirkan pada thun 1877 dan dikatakan antara para pelabur paling terkenal dalam sejarah. Jesse bukanlah seorang ahli akademik yang mempunyai pendidikan formal dalam dunia saham. Pada zaman kemuncaknya dalam dunia saham, beliau telah mencapai kekayaan sebanyak USD 100 juta tahun 1929.

Sekiranya dihitung nilai tersebut pada masa kini, ia mencapai sebanyak USD 1.5 bilion. Sepanjang hidupnya, beliau sempat menulis sebuah buku yang bertajuk “How to Trade in Stocks (1940)”.

Warren Buffett

Sebut sahaja nama Warren Buffett, pasti nama ini tidak asing lagi dalam dunia pelaburan saham. Warren Buffett dianggap sebagai inspirasi kepada pelabur lain disebabkan sikap disiplin serta konsisten dalam menguasai pasaran saham. Beliau dilahirkan pada 30 Ogos 1930 di sebuah kawasan bernama Omaha, Nebraska.

Beliau merupakan ahli perniagaan, pelabur dan dermawan di Amerika Syarikat. Kini beliau, menjadi CEO kepada Syarikat Berkshire Hathaway sejak 1970. Warren Buffet mempunyai nilai bersih kekayaan sebanyak USD 100.6 bilion. Kekayaan ini menjadikan beliau sebagai individu ketujuh terkaya di dunia pada April 2021.

Peter Lynch

Peter Lynch merupakan seorang pengurus dana “Fidelity Magellan Fund” dari tahun 1977 sehingga tahun 1990. Sepanjang tahun ini, dana yang bernilai USD 18 juta telah meningkat kepada USD 14 bilion atas kebijaksanaan Lynch dalam menguruskan dana saham. Ketika memilih saham yang bersesuaian, Lynch berpegang pada prinsip terhadap saham yang difahami berdasarkan penilaian analisis yang dijalankan.

Pada Februari 2021, nilai kekayaan Lynch dianggarkan sebanyak USD 450 juta. Sepanjang kehidupannya, Lynch terkenal dengan sifat dermawan dan aktif dalam dunia sumbangan. Beliau telah menyumbangkan sebanyak USD 10 juta kepada ” Peter Lynch, Boston College and Foundation”. Yayasan ini telah menghasilkan geran USD 80 juta dan jumlah sumbangan sebanyak USD 125 juta.

Share this post

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram