ALGORAND

Membuka, Menyimpan dan Staking Aset dengan Dompet Digital Algorand

Selain Ethereum, terdapat banyak jenis alternative coins atau nama singkatannya altscoin yang terdapat di pasaran kripto. Antaranya ialah Polkadot, XRP, Stellar Lumen, Cardano, Algo dan banyak lagi. Artikel ini akan menjelaskan tentang salah satu altcoins yang terdapat di pasaran kripto, iaitu Algo.

Algo ialah matawang kripto dari Algorand blockchain. Algorand ialah rangkaian tidak berpusat yang dibina untuk menyelesaikan trilemma blockchain (dimana pemaju bertemu tiga isu utama semasa membina rangkaian blockchain tersebut) untuk mencapai kepantasan, keselamatan dan menjadi rangkaian tidak berpusat secara serentak.

Algorand blockchain ini menyokong fungsi smart contract iaitu perjanjian yang diprogram untuk membina aplikasi tidak berpusat. Konsensus algoritmanya pula adalah berdasarkan prinsip proof-of-stake (PoS) atau di dalam bahasa Malaysia, bukti pegangan. Rangkaian Algorand seakan sama dengan Ethereum tetapi dengan perbezaan utama iaitu ia bertujuan untuk menjadi sebuah platform lebih selamat, tidak berpusat dan mempunyai kelajuan transaksi dengan kos yang kecil.

Bagaimanakah Algorand berfungsi?

Algorand dikenali dengan trademark mereka iaitu pure proof of stake (PPoS) iaitu proses di mana nod algorand mencapai kata sepakat tentang apa yang patut muncul di dalam blockchain. Proses ini dinamakan staking. Proses ini berbeza dengan Bitcoin yang beroperasi menggunakan sistem perlombongan proof-of-work (PoW). Namun tujuan kedua-dua proses ini adalah sama, iaitu untuk mengesahkan transaksi dan menghasilkan token kripto yang baru.

Algorand juga menawarkan pelaburnya untuk melakukan aktiviti staking di dalam dompet digital mereka. Pelabur yang berminat hanya perlu memiliki dompet digital Algorand dan mendeposit sejumlah kecil aset matawang kripto ke dalam akaun mereka untuk memulakan proses staking tersebut.

Cara membuka dompet digital Algorand

Dompet digital Algorand boleh diakses dengan menggunakan peranti pintar. Anda boleh memuat turun aplikasi dompet digital Algorand dari Apple Store atau Play Store. Perlu dimaklumkan, tutorial pembukaan akaun ini dibuat setelah akaun pertama pihak kami di buka. Walaubagaimanapun, langkah-langkah pembukaan adalah hampir sama.

Setelah memuat turun aplikasi dompet digital Algorand, anda akan diminta untuk membuka akaun. Anda hanya perlu menekan Add Account disusuli dengan Create New Account. Seterusnya, anda perlu memasukkan 6 digit nombor kod laluan sebagai kod laluan untuk aplikasi Algorand ini. Sebagai langkah keselamatan tambahan, anda boleh memilih untuk mengaktifkan pengenalan sentuh (touch ID) atau pengenalan wajah (face ID) pada dompet digital anda.

Seterusnya, anda akan diberikan informasi tentang proses sandaran (backup) akaun anda jika berlaku sesuatu. Anda akan diberikan fasa laluan sebanyak 25 patah perkataan untuk akaun anda. Sila catat fasa laluan tersebut dan simpan ia di tempat yang selamat. Elakkan mengambil tangkapan skrin dari telefon bimbit anda untuk mengelakkan apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku.

Paparan skrin yang seterusnya menunjukkan 25 patah perkataan fasa laluan yang pihak kami tidak boleh paparkan disini.

Setelah selesai anda boleh menamakan akaun anda seperti di bawah. Anda akan dapat melihat akaun yang baru anda daftar tadi di laman hadapan dompet digital anda.

Akaun anda telah berjaya dibuka dan anda boleh mula menghantar dan menerima aset di dompet digital anda.

Namun begitu, dompet digital Algorand ini hanyalah digunakan untuk menyimpan dan membuat aktiviti staking. Tiada pilihan pembelian terus matawang Algo yang terdapat di dalam dompet digital Algorand ini. Justeru itu, anda perlu membeli Algo melalui exchange seperti Binance dan Kucoin kemudian menghantarnya ke dompet digital Algorand anda. Langkah-langkah penghantaran dan penerimaan aset dijelaskan di subtopik seterusnya.

Cara menghantar dan menerima aset

Untuk menghantar dan menerima aset ke dompet digital Algorand, anda hanya perlu klik pada aset tersebut. Kemudian anda akan dibawa ke paparan seterusnya. Di sini anda akan dapat melihat jumlah aset anda serta nilainya di dalam nilai matawang Amerika Syarikat, USD. Anda juga boleh menukar matawang ke Ringgit Malaysia (MYR) dengan membuka Setting > Currency> MYR. Transaksi keluar dan masuk aset juga akan ditunjukkan di dalam paparan ini.

Sebagai contoh, untuk menerima matawang kripto Algo, anda hanya perlu menekan butang receive di bahagian bawah paparan ini.

Anda mempunyai dua pilihan cara penghantaran aset ke dompet digital iaitu dengan menggunakan kod QR atau memasukkan alamat dompet digital anda. Alamat ini adalah unik dan khas untuk penerimaan Algo di dalam dompet digital Algorand anda sahaja. Jika anda menghantar aset lain seperti USDC ke alamat ini, kemungkinan besar aset tersebut akan hilang.

Setelah berjaya menerima aset ke dalam dompet digital anda, butiran transaksi akan dipaparkan seperti contoh dibawah. Untuk makluman, kami kaburkan sedikit alamat penerima dan penghantar demi menjaga privasi mereka.

Untuk penghantaran pula, anda hanya perlu tekan butang send seperti yang dibulatkan di bawah. Di paparan seterusnya, anda hanya perlu memasukkan jumlah Algo yang mahu dihantar serta mengisi nota penghantaran. Anda mempunyai pilihan sama ada menghantar aset kepada penerima dengan menggunakan kod QR, alamat penerima ataupun melalui contacts iaitu jika anda ada menyimpan butiran alamat penerima di dalam peranti pintar anda.

Anda juga boleh melakukan penghantaran dalaman dengan menekan butang accounts.

Transaksi penghantaran juga akan ditunjukkan pada paparan transaksi aset tersebut. Penghantaran Algo adalah sangat pantas dan memerlukan kos yang sangat murah seperti yang anda boleh lihat pada contoh di atas.

Memperolehi ganjaran dengan Staking

Dompet digital Algorand ini meletakkan syarat yang sangat mudah iaitu dengan memerlukan pelabur memasukkan sekurangnya satu sahaja Algo ke dalam akaun untuk memulakan proses staking.

Berbeza dengan cara staking matawang kripto di tempat lain, dompet digital Algorand ini tidak memerlukan pelaburnya untuk menjadi pengesah (validator) atau mewakilkan (delegate) token mereka. Setelah Algo dimasukkan ke dalam akaun, proses staking akan bermula secara automatik dan pelabur boleh melihat penambahan Algo akibat pemberian ganjaran di dalam dompet digital masing-masing. (Sumber: Algorand Rewards FAQ)

Share this post

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram