Untitled design

Tidak Pernah Kenal Erti Putus Asa – Colonel Sanders Berjaya Menubuhkan KFC

“Snack plate atau dinner plate”, apabila kita singgah di KFC pasti kita akan terbayang kesedapan ayam goreng atau pilihan burger yang tersedia. Disebalik ini pernahkah kita terbayang siapakah yang mula mencipta rangkaian sehingga mempunyai cawangan di serata dunia.

Bagi yang belum mengenali, gambar beliau pasti akan terpapar di setiap logo KFC yang berpewatakan seorang lelaki tua berjanggut, berbaju putih serta berkaca mata. Ya, beliau merupakan Colonel Harland David Sanders dilahirkan pada 9 September 1890. Percaya atau tidak, beliau mengecapi kejayaan ketika lewat penghujung usianya.

Awal kehidupan penuh pancaroba dan dugaan

Awal kehidupan beliau tidaklah seindah dan sebaik orang lain. Beliau terpaksa menghadapi kesusahan dan kurang merasai kasih sayang seorang bapa, selepas kematian bapanya ketika berumur 6 tahun. Atas kedaifan kehidupan, ibunya telah mengambil alih tugas sebagai seorang ketua keluarga.

Beliau ditugaskan untuk menjaga adiknya, mengemas rumah dan memasak. Dari situlah beliau mempelajari kemahiran memasak sejak dari kecil. Seawal berumur 10 tahun, beliau telah mencari rezeki dan melupakan zaman persekolahan dengan bekerja sebagai pembantu ladang bergaji 2 dollar setahun.

Colonel Harland David Sanders ketika waktu muda.

Mencuba pelbagai pekerjaan

Bukan satu atau dua tetapi pelbagai pekerjaan yang dicuba sepanjang kehidupan beliau. Apa menariknya, ketika berusia 16 tahun, beliau telah memalsukan dokumen pengenalan diri untuk menyertai tentera. Beliau hanya bertahan selama 3 bulan. Bukan itu sahaja, beliau pernah mencuba nasib sebagai pegawai bomba, peguam, bidan bersalin dan penjual insurans.

Selepas mencuba pelbagai pekerjaan, akhirnya beliau menemui kehidupan yang stabil dan tetap sebagai seorang pengusaha stesen minyak selama 6 tahun. Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan semasa tengah hari, kehidupan Harland kembali berduka disebabkan kemerosotan ekonomi Great Depression. Disebabkan hampir muflis, memaksa beliau berhijrah di sebuah daerah yang bernama Corbin, Kentucky di Utara Amerika Syarikat.

Munculnya resepi pertama

Akhirnya ketika beliau berusia 50 tahun, berjaya menyempurnakan resepi ayam originalnya dengan menggunakan gabungan beberapa herba dan rempah ratus. Beliau telah menggunakan konsep pressure fryer untuk memasak ayam goreng dalam waktu yang lebih pantas.

Disebabkan mendapat permintaan yang tinggi daripada pemandu yang berhenti mengisi minyak dan bertanyakan mengenai lokasi menarik untuk makan. Persoalan inilah telah memberikan ilham kepada Harland membuka sebuah café yang dinamakan “Sanders Court dan Café” yang mampu memuatkan sebanyak 142 pelanggan dalam satu-satu masa.

Colonel Sanders ketika mencuba resepi ayamnya.

KFC pertama ditubuhkan

Pembinaan lebuhraya baharu menyebabkan pergerakan jumlah kenderaan semakin berkurangan di kawasan restoran beliau miliki. Colonel Sanders perlu memikirkan cara dan strategi supaya resepi ayam goreng mampu dipopularkan ke luar. Beliau telah berhijrah dan mencari pengusaha yang sanggup membeli resepi ayam goreng.

Pada tahun 1952, Colonel Sanders telah berjaya francaiskan dan restoran pertama yang bersetuju merupakan sebuah hotel bernama Do Drop Inn yang berada di Salt Lake City, Utah yang menjadi tapak pertama Kentucky Fried Chicken. Berkat dan usaha beliau, francais Kentucky Fried Chicken telah mencapai sebanyak 200 cawangan di kawasan Kanada dan Amerika Syarikat pada tahun 1952.

Sekitar tahun 1960an beliau telah menjual semua perniagaan francais sebanyak RM 2 juta dan haya meneruskan sebagai duta Kentucky Fried Chicken sehinggalah akhir hayat beliau. Pada usia 88 tahun barulah beliau digelarkan sebagai jutawan walaupun pada lewat usia.

Gambar: pinterest

Tanpa kegagalan mustahil munculnya kejayaan

Pernahkah anda terfikir dan berasa sampai satu saat anda perlu mengalah dalam sesuatu kegagalan? Tetapi ingatlah tanpa kegagalan mustahil munculnya kejayaan. Walaupun Colonel Sanders telah menghadapi kegagalan sebanyak 1009 kali, namun beliau terus bangkit dan berusaha membuktikan kejayaan pasti milik beliau walaupun pada lewat usia. Oleh itu, usia bukan penghalang untuk sesiapa berjaya dan jangan takut mencuba sesuatu yang baharu.

Share this post

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram